Sabtu, 15 November 2014

Pantun Hari Ini #9



Langit nan cerah awan memutih,
Terbang undan turun ke laman,
Kejam Si Merah Cekal Si Putih,
Cerita teladan zaman-berzaman.



Jumaat, 14 November 2014

Pantun Hari Ini #8


Buah labu dibuat serawa,
Santapan utama tuan puteri,
Kenangan lalu menggamit jiwa,
Menusuk sukma juga sanubari.


Rabu, 12 November 2014

Pantun Hari Ini #7



Bersarang tempua di dahan pulasan,
Pohonan akasia berselang pedada,
Muda ke tua fitrah insan,
Angka nan usia turun tiada.


Ihsan daripada Abab Khairul.


Selasa, 11 November 2014

Pantun Hari Ini #6


Tuan jauhari asal Kelantan,
Bijak berkata ilmu tak dangkal,
Ilmu Ilahi bak luas lautan,
Ilmu manusia terbatas dek akal.



Ahad, 9 November 2014

Pantun Hari Ini #5


Pelita bersumbu penuh jelaga,
Menyinar Raya seindah pandangan,
Kasih ibu membawa ke syurga,
Kasih bapa tiada tandingan.



Sabtu, 8 November 2014

Pantun Hari Ini #4


Suara mendayu jadi pengubat,
Diiring gambang sayup terasa,
Bahasa Melayu dijulang martabat,
Menjadi lambang identiti bangsa.




Jumaat, 7 November 2014

Pantun Hari Ini #3



Gadis ayu duduk di taman,
Berkurung Kedah si Puteri Jawa,
Gamelan Melayu warisan berzaman,
Dialun indah menusuk jiwa.



Khamis, 6 November 2014

Pantun Hari Ini #2


Dagang kurma di pekan tamu,
Dibeli Aduka buat Arjuna,
Buku umpama gedung ilmu,
Sekali terbuka minda dijana.



Selasa, 4 November 2014

Pantun Hari Ini #1


Suara lunak Puteri Kayangan,
Madah diperi seindah saujana,
Sayang anak ditangan-tangan,
Didikan diberi penuh bermakna.


Teroka Bahasa : Bahasa Istana


Bahasa Istana sering digunakan dalam mengarang penbayang pantun..

Berikut merupakan senarai Bahasa Istana yang boleh digunakan..

Bahasa Istana
Bahasa Biasa
Almarhum
Allahyarham
ampun kurnia
maaf
anugerah
beri; hadiah
baginda
dia (raja menyapa rakyat)
beradu
tidur
berangkat
berlepas; bertolak
bercemar duli
berjalan; pergi ke
berkenan
sudi; suka akan
berputera
beranak; bersalin
bersabda
berkata
bersiram
mandi
bertitah
berkata
beta
saya (raja)
daulat
bahagia
gering
sakit
hari keputeraan
hari jadi
hulu
kepala
iram-iram
payung
kaus
kasut
kurnia
beri; hadiah
mahkota
topi
makam
kubur
mangkat
mati; meninggal dunia
menghadap
menjumpai
murka
marah
patik
saya (rakyat menghadap raja)
peraduan
tempat tidur
permaisuri
isteri
putera
anak lelaki
puteri
anak perempuan
santap
makan
semayam
duduk; tinggal
sembah
memberi salam
singgahsana
kerusi
titah
kata; perintah


SEMOGA DAPAT MEMBANTU!

Teroka Pantun : Analisis Lagu Timang Burung



Assalamualaikum,

Pada hari ini saya mahu menganalisis sebuah lagu gamelan lama yang bertajuk
"TIMANG BURUNG".

Lagu ini akan dianalisis dalam konteks pantun.

Saya juga akan memperbetulkan kesalahan lirik lagu tersebut dalam konteks pantun.

Tujuan saya bukan untuk menimbulkan spekulasi dan kontroversi.

Saya ingin mengajar para penggiat pantun bagaimana kita mahu 
mengesan kesalahan dalam pantun.





Tajuk lagu : Timang Burung


Timang-timang burungku sayang
Mari ku timang , mari ku dendang
Hati rindu pada cik abang
Siang malam terbayang-bayang

Timang burung,
Anak raja turun ke taman

Timang-timang burung terebang
Hinggap mari di dahan kayu
Wajah tuan terkenang-kenang
Tidur tak lena, makan tak lalu

Timang burung
Ala sayang si lambang sari

Anak merbuk, anak merpati
Turun mari di atas dahan
Abang seorang kekasih hati
Tiada yang lain darimu tuan

Timang burung,
Anak raja turun ke taman

Anak tiong terbang sekawan
Turun mari dahan berduri
Di angin lalu ku kirim pesan
Rindu ku tanggung seorang diri

Timang burung,
Ala sayang si lambang sari

Burung nuri terbang tinggi
Turun mari di atas dahan
Mari-mari kekasih hati
Aku rindu padamu tuan

Timang burung
Anak raja turun ke taman


Cukup indah dan mendalam warisan lagu Melayu lama ini.

Sekarang kita pergi pada rangkap pertama:


Timang-timang burungku sayang
Mari ku timang , mari ku dendang
Hati rindu pada cik abang
Siang malam terbayang-bayang


Kalau dilihat, rima akhirnya berbentuk aaaa. Manakala rima tengahnya berbentuk bebas. 
Jadi, cuba kita perbetulkan mengikut hukum pantun.


Timang-timang burungku sayang
Ku timang mari, mari ku dendang
Malam siang terbayang-bayang
Rindu hati terpandang-pandang.


Ini versi saya. Bagaimana pula anda?


Sekarang kita ke rangkap seterusnya...


Timang-timang burung terebang
Hinggap mari di dahan kayu
Wajah tuan terkenang-kenang
Tidur tak lena, makan tak lalu


Jika diubah mengikut hukum pantun, ia akan berubah seperti ini...


Timang-timang burung terebang
Hinggap perkasa di angin pilu
Terkenang-kenang wajah cik abang
Tidur tak lena, makan tak lalu


Kita cuba pula pada rangkap ketiga....


Anak merbuk, anak merpati
Turun mari di atas dahan
Abang seorang kekasih hati
Tiada yang lain darimu tuan


Setelah diubah, ia akan berbentuk seperti ini...


Duduk di sarang anak merpati
Hinggap garuda di atas dahan
Abang seorang kekasih hati
Yang lain tiada darimu tuan.


Jika mengikut hukum pantun bagi pertandingan-pertandingan, sudah pasti akan ditolak markah.

Tetapi, jika mengikut hukum pantun Melayu lama, rima bunyi masih diterima.


Sekarang, Mr. Pantun meminta anda untuk mengubah rangkap seterusnya... 


Sila hantar pantun anda pada ruangan komen...


SEMOGA BERJAYA!